Saturday, July 18, 2015

Memori Yang Semakin Pudar

Bangun ku disambut hujan yang membasahi Wellington. Berat rasa kepala ku untuk meninggalkan bantal yang empuk. Bunyi hujan mengusungku lena dikatil. Sekali sekala terlelap dan terjaga dari alam tidur. Cahaya redup masuk melalui pintu kaca balcony. Sudah jam berapa?

Ku lihat jam di dinding. Wah, sudah tengahari! Semalam aku seronok melihat movie Interstellar bersama rakan ku sehingga pagi, patut lah bngun akhir hari ni. Kepala ku sakit, mungkin sebab tidur terlalu lama, ataupun dehydrated? 

Aku lantas bangun dan mencuci muka. Perut ku lapar and kerongkong ku haus. Ah! betul lah, aku dah boleh makan tengahari hari ni. Bulan Ramadhan dah berlalu pergi.. anak bulan dah kelihatan semalam. Jadi hari ni..

Hari Raya?

Betullah, hari ni hari raya! Ah, tak sempat sembahyang raya lah ni, dah bngun akhir. Tak apa, sunat sahaja. Aku patut takbir raya kah? hmm.. tak apa lah, takbir saja sambil kemaskan bilik. Ada lah juga kemeriahannya sedikit. 

Aku rasa kekok menuang air ke cawan bila matahari tegak sebegini. Ku ambil seteguk dua. Sambil minum aku terkenang kan bulan Ramadhan. Ramadhan dah pergi.. Ramadhan tahun ni aku dah berubah Alhamdulillah. Tapi Ramadhan dah pergi, sekarang hanya aku dan Allah. Cabaran bermula disini, bisikan bisikan laknat akan kembali hari ni.. Ya, aku benci hari raya.. Tapi betulkah aku benci?

Semalam kawan berasal dari Saudi pergi ke bukit berdekatan melihat anak bulan. Kawan-kawan Brunei di Dunedin pula bertakbir beramai-ramai menyambut kedatangan Syawal. Masing-masing membawa juadah raya untuk dikongsi bersama. Dan aku? apa yang ku lakukan semalam?

Aku makan di restoran menyambut hari lahir kawan sekuliah ku. Balik kerumah aku melihat filem sehingga lewat pagi. Ya betul aku ada makan kek tapak kuda yg ku kongsi bersama rakan dan menyanyi satu dua lagu raya. Tapi hatiku tidak bermaya untuk menyambut nya lagi.

Sudah berapa lama? ku kira dengan jari, enam... sudah enam tahun ku di New Zealand. Enam tahun aku beraya di perantauan. Enam tahun aku tidak melihat wajah babah dan mama di pagi raya. Enam tahun...

'Handphone' ku berdering, ada pesanan ringkas. "Eid Mubarak!". Ucapan dari kawanku berlainan agama yang berasal dari New Zealand. Aku tersenyum. Teringat semalam waktu ku menyanyi lagu hari raya bersama rakan karib ku yg juga berlainan agama. Dia sangat seronok menyambut nya, aku gembira melihat dia beriya-iya menyanyi mengalahi aku. Katanya di Malaysia, tak kira bangsa, tak kira agama, semua pun gembira bila datangnya hari raya. Aku tersenyum lebar mengingati kata-katanya. Semua orang gembira! Tapi...

Ah! sudahlah. Banyak lagi kerja universiti yang harus ku siapkan. Sudah 6 tahun aku disini, takkan lah nak malas pula. Mungkin boleh alihkan fikiran ku dari kesedihan ini.

Kesedihan?

Dua hari lepas di facebook, aku ternampak ada rakan yang gembira menyatakan di status-nya dia sedang dalam perjalanan balik Johor untuk berhari raya. Dia pun satu masa dulu pernah berada ditempatku, belajar di perantauan. Sekarang sudah boleh balik beraya. Aku sedikit cemburu, tapi juga gembira kerana dia sudah dapat beraya bersama keluarga. Aku gembira kerana status nya bagaikan harapan yang satu masa nanti aku juga akan begitu. Ya! Aku juga akan balik kampong! Balik ke pangkuan keluarga ku di hari raya!

Hujan dah reda di Wellington. Tapi hatiku masih mendung. Whatsapp ku riuh dengan ucapan-ucapan hari raya dari kawan-kawan kolej ku lama dalam group chat Locker Crew. Dalam whatsapp aku terlihat group chat khas untuk keluarga ku. Sunyi pagi ini.. Mungkin babah dan mama sibuk di pagi raya menyambut bersama kaka dan keluarganya. Aku dah semakin lupa tentang kesibukan di rumah di pagi raya, memori itu semakin pudar. Di New Zealand hanya terasa seperti hari-hari biasa. Aku dah semakin lupa kemeriahan raya berada disamping babah dan mama. Adakah babah dan mama pun juga begitu? Adakah memori menyambut raya bersamaku juga semakin pudar di memori babah dan mama?

Aku mengambil keputusan untuk memecahkan kesunyian group chat keluarga ku. Ingin ku memohon maaf dari babah dan mama. Mungkin mereka akan mengongsikan kemeriahan di pagi raya. Mungkin mereka akan gembira melihat pesanan dari ku. 

Tapi kenapa semakin ku karang pesanan ini, semakin hatiku mendung? Aku terhenti. Awan di hati dah semakin berat. Ah, hujan dah mula turun bercucuran di pipi.  Ku kesat dengan tisu. Dah semakin lebat. Tak dapat ku meneruskan text message ku. 

Minda ku berbicara memberikan kata-kata semangat "Sudahlah Adibah.. Jangan bersedih. Kau disini berjuang menimba ilmu. Ikhlaskan diri, InsyaAllah segala yang kau lakukan selama enam tahun ini akan membuahkan hasil. Bangkitlah! Bersemangatlah! Gagah dan berani! Puncak menara gading sudah kelihatan disana! Nah, jangan berputus asa!"  

Ku gagahi menulis lagi sehingga habis. Hatiku berat menekan butang send di whatsapp. Text message yang ku nukil ini terlalu mencerminkan perasaan didalam hatiku. Walaupun memori itu semakin pudar, aku harap babah dan mama akan selalu mengingatiku di pagi raya, sepertimana aku mengingati mereka..



Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir Dan Batin
- Didy Sarbini -